Keadaan banjir di Setiu. foto Facebook

KUALA BERANG- Kekurangan aset berat menjadi antara punca bantuan lambat sampai ke kawasan terputus hubungan akibat banjir di negeri ini, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa.

Beliau berkata, sebagai contoh terdapat tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hulu Terengganu iaitu di Pengkalan Ajal, Peneh dan Lubuk Periuk yang terputus hubungan dan tidak dapat diakses setelah dinaiki air sejak 9 pagi tadi.

Bagaimanapun, usaha menghantar bantuan seperti bekalan makanan siap dimasak tidak dapat dilakukan kerana kekurangan kenderaan berat seperti lori besar dan bot yang boleh meredah arus deras.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melakukan yang terbaik dengan menyiapkan makanan segera boleh kita bawa. Tetapi masalahnya kita kekurangan kenderaan berat… tidak ada bot dengan kuasa yang cukup untuk meredah arus,” katanya ketika meninjau PPS Kampung Kua di Ajil di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya mangsa banjir dapat bersabar kerana semua agensi penyelamat sedang berusaha untuk menghantar bantuan kepada mangsa.

Rohaimi berkata semua maklumat telah disalurkan kepada pihak berkaitan dan bilik gerakan banjir di semua daerah juga sedang beroperasi dengan baik.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu berkaitan banjir di media sosial.

Menurut beliau, tindakan lebih tegas dan drastik akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan ketenteraman orang awam dengan berita tidak benar.

“Ada yang mengambil berita dan gambar diambil daripada insiden dari luar negara dan menyebarkan seolah-olah ia berlaku di negeri ini seperti tahun lepas dan sebelumnya.

“Kita akan pantau dan ambil tindakan lebih tegas bagi mengekang tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya. – BERNAMA