Beberapa buah kenderaan yangrosak teruk ditemui di lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Sejumlah tujuh buah kenderaan milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Jalan Batang Kali- Gohtong Genting telah ditemui pasukanĀ  operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Suffian Abdullah berkata, lima daripada kenderaan itu sudah dikenalpasti pemiliknya.

“Daripada lima buah kenderaan, dua pemiliknya adalah mangsa yang masih hidup, dua lagi telah meninggal dunia dan satu kenderaan lagi membabitkan mangsa yang masih hilang disyaki tertimbus dalam runtuhan tanah itu,” katanya dalam sidang media harian melaporkan perkembangan terbaharu pagi tadi.

Ditanya mengenai pemilik dua lagi kenderaan, beliau menjelaskan polis masih dalam proses untuk mengesan dan mengenal pasti identiti pemiliknya.

“Kami masih dalam proses mencari pemilik dua lagi kenderaan,” tambah Suffian.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan insiden itu, beliau berkata, angka masih kekal seperti semaalam – 61 mangsa terselamat, sembilan orang hilang dan 24 telah meninggal dunia.

Pasukan penyelamat masih meneruskan pencarian sembilan lagi mangsa yang sudah memasuki hari keempat.

Operasi bermula jam 8 pagi tadi dengan menggunakan khidmat enam ekor anjing pengesan K9.-MalaysiaGazette