KUANTAN – Penduduk di Kampung Sungai Karang Darat, di sini cemas apabila air naik mendadak di kediaman mereka tengah malam tadi.
Salah seorang penduduk, Nordin Musa, 45 ketika ditemui berkata, beliau sama sekali tidak menyangka rumahnya dinaiki air hampir paras peha dalam tempoh dua jam sahaja.
“Ingat dalam pukul 12 tengah malam tadi air tak naik macam ni.
“Pukul 2 pagi tadi, anak kejut air dah melimpah masuk rumah, sampai ke dapur. Jiran sebelah dan terdekat pun semua dah naik air di rumah mereka,” luahnya.
Ketika tinjauan MalaysiaGazette sekitar jam 3 pagi mendapati beberapa jalan di kawasan kediaman di sini juga telah dilimpahi air dan rata-rata penduduk mula mengalihkan kenderaan masing-masing ke kawasan lebih tinggi.
“Tapi kami memang dah bersedia awal-awal. Buat masa sekarang, kami alih motosikal semua ke rumah yang kawasan lebih tinggi.
“Sekarang kalau tengok air semakin naik. Mungkin kalau hujan berlarutan, air akan terus naik,” jelasnya.
Ketika tinjauan ke rumahnya, Nordin dan isterinya sedang giat mengalihkan barang-barang seperti perkakas elektrik, barangan peribadi dan dokumen penting ke tempat lebih tinggi seperti di atas almari, para dan meja.
Dalam masa sama, Nordin dan beberapa penduduk di kampung tersebut juga saling bantu-membantu satu sama lain dalam usaha menyelamatkan barang-barang berharga mereka daripada rosak terkena banjir.
“Memang tak boleh lelap matalah kami malam ni,” ujarnya.
Sementara itu, beberapa penduduk di situ juga dilihat mula meninggalkan kediaman mereka yang dinaiki air dan menuju ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berhampiran sekitar jam 3 pagi tadi.
Difahamkan, hujan lebat yang berlarutan sejak tengah hari semalam juga menjejaskan beberapa kawasan lain di sekitar Kuantan termasuk Tanah Putih, Cenderawasih, perkampungan Sungai Isap dan Kampung Tiram. – MalaysiaGazette