Argentina membawa pulang Piala Dunia ke bumi Amerika Selatan buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun apabila menewaskan Perancis dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam masa tambahan.
Penjaga gol, Emiliano Martinez muncul wira apabila menafikan sepakan Kingsley Coman selain menyaksikan tendangan Aurelien Tchouameni tersasar. Semua sepakan yang diambil pemain Argentina menggegar jaring.
Pada perlawanan akhir yang diadakan Stadium Lusail, Doha, Qatar itu, pemain sensasi Perancis, Kylian Mbappe melakar hatrik manakala lawannya, Lionel Messi menjaringkan dua gol.
Pada masa tambahan, Messi menjaringkan gol pada minit ke-108 setelah bola rembatan Lautari Martinez ditampan penjaga gol, Hugo Lloris menuju ke arah penyerang Argentina itu lalu menolak masuk ke dalam gawang.
Namun Mbappe menyamakan kedudukan 10 minit selepas itu menerusi sepakan penalti.
Dalam perlawanan sengit itu, dua gol dijaringkan pada setiap babak, menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan penuh yang mengheret ke masa tambahan.
Argentina mendahului 2-0 pada masa pertama namun lawannya itu menjaringkan dua gol pada babak kedua bagi menghidupkan peluang membawa pulang Piala Dunia.
Messi membuka jaringan pada minit ke-25 menerusi tendangan penalti setelah Angle di Maria dijatuhkan Ousmane Debbele dalam kotak penalti
Kapten Argentina itu mudah memperdayakan Lloris yang melayangkan badannya ke kanan.
Argentina terus mengekalkan permainan pantas dengan umpanan tepat sehingga menyukarkan Perancis menguasai permainan.
Usaha tersebut berbuah apabila pasukan Amerika Selatan itu menggandakan gol pada minit ke-36 menerusi Di Maria yang tidak dikawal dengan mudah menewaskan Lloris untuk kali kedua selepas menerima umpanan daripada Alexis Mac Allister.
Tersentak dengan gol kedua lawan, Perancis membuat pertukaran awal dengan menggeluarkan Olivier Giroud dan Dembele yang digantikan dengan Marcus Thuram dan Randal Kolo Muani.
Namun pertukaran tersebut tidak membawa banyak perubahan sehingga tamat babak pertama.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dengan parmainan pantas namun jentera serangan Argentina lebih tajam untuk menambah jaringan.
Argentina hampir menambah gol pada minit ke-62 menerusi Mac Allister namun Lloris lebih pantas menghalang pemain itu daripada merembat bola ke gawang.
Peluang terbaik Perancis untuk menjaringkan gol muncul pada minit-70, namun rembatan Mbappe melepasi palang gol.
Namun pada minit ke-78 Perancis dihadiahkan penalti apabila Muani dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Nicolas Otamendi.
Mbappe tidak mensia-siakan peluang itu bagi membolehkan Perancis merapatkan kedudukan.
Perancis yang mendapat suntikan semangat terus melakukan serangan dan 97 saat selepas gol pertama, rembatan Mbappe menggegarkan gol bagi mengikat kedudukan 2-2. – MalaysiaGazette