KUALA LUMPUR – Tiada Himpunan Tuntutan Pengeluaran Bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di luar pekarangan bangunan Parlimen, di sini, awal pagi ini.
Sebaliknya pihak penganjur, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR) hanya menyerahkan memorandum kepada wakil Kerajaan Perpaduan di luar bangunan Parlimen.
Usul pengeluaran KWSP secara bersasar yang mengandungi empat tuntutan itu diserahkan Pengerusi PGIR, Azmi Mohd Tahir kepada Ketua Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, kira-kira jam 9.45 pagi tadi.
Antara empat tuntutan itu ialah suri rumah dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak aktif lagi mencarum dibenar mengeluarkan kesemua simpanan persaraannya.
“Ia bagi menyara kelangsungan hidup mereka yang semakin terhimpit di samping dapat membantu ekonomi keluarga dan kemajuan anak-anak golongan wanita itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
PGIR juga menuntut agar bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum kerana diberhentikan kerja, berhenti secara sukarela, baru berhenti, tidak mempunyai pekerjaan tetap serta sukar mendapat pekerjaan kerana faktor usia dan kesihatan dibenarkan membuat pengeluaran.
“Golongan ini perlu dibenarkan membuat pengeluaran kesemua simpanan persaraannya untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memperbaiki ekonomi yang semakin meruncing,” katanya.
Di samping itu, pencarum yang masih aktif mencarum berusia 54 tahun dan ke bawah yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi RM20,000 dibenar mengeluarkan 30 peratus daripada Akaun 1.
Ia mengikut keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup untuk mengatasi masalah ekonomi tidak menentu serta peningkatan harga barang yang berterusan sehingga kini pihak kerajaan masih gagal menanganinya dengan baik.
Katanya lagi, pencarum KWSP yang masih aktif mencarum dan mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 1 sebanyak RM19,999.99 dan ke bawah dibenar mengeluarkan keseluruhan simpanan dan meninggalkan baki sebanyak RM200 di dalam akaun 1 dan akaun 2.
“Di dalam tuntutan ini kesemua kategori pencarum yang di atas bakal mendapat manfaat tidak kira usia dari 54 tahun dan ke bawah selagi mempunyai baki simpanan seperti ketetapan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette