Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kes maut renjatan elektrik di sebuah rumah yang ditenggelami air di Kampung Morak, Tumpat hari ini.

Katanya, siasatan itu dijalankan bersama Suruhanjaya Tenaga dan polis.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian ini dan membuat spekulasi, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan sisatan di samping menghormati perasaan dan sensitiviti keluarga mangsa.

TNB turut mengulangi peringatannya kepada orang ramai agar tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami banjir kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus.

Selain itu, TNB akan memastikan keselamatan orang ramai sentiasa diutamakan, termasuk dengan memutuskan sementara bekalan elektrik ke kawasan yang ditenggelami air banjir atas faktor keselamatan.

Penyambungan semula bekalan akan dibuat dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan.

Orang ramai disarankan untuk sentiasa menjaga keselamatan dan menghubungi talian 1-300-88-5454 bagi melaporkan pepasangan TNB yang berada dalam keadaan bahaya. – MalaysiaGazette

Tiga beradik perempuan maut terkena renjatan elektrik