Barangan milik mangsa yang ditemui di kawasan perkhemahan dekat Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Misi pencarian baki sembilan lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Jalan Batang Kali-Gohtong Genting disambung semula pada hari keempat pagi ini.

Sekitar seawal jam 7.45 pagi tadi kelihatan semua pegawai dan anggota pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah berkumpul untuk sesi taklimat.

Sekitar jam 8.30 pagi tadi, enam ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan K9 gabungan jabatan bomba, polis dan tentera tiba di khemah gerakan operasi di lokasi kejadian untuk memulakan tugas mengesan dan mencari baki mangsa yang masih hilang.

Antara agensi penyelamat utama terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Turut terlibat adalah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di lokasi setakat jam 9 pagi tadi mendapati keadaan cuaca sedikit mendung, sekali gus memberi cabaran kepada pasukan SAR dalam menjejaki sembilan lagi mangsa.

Penggunaan jentera pengorek (long harm excavator) dan ‘ground penetrating radar’ (GPR) digunakan oleh pasukan SAR bagi mengesan mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan itu.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku pada hari Jumaat lalu, kira-kira jam 2.24 pagi.

Seramai 94 mangsa terlibat dalam tragedi menyayat hati itu.

Daripada jumlah itu, 61 orang selamat manakala 24 lagi disahkan meninggal dunia.- MalaysiaGazette