Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Pihak polis akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan dan lalu lintas di sekitar kawasan keluar masuk Parlimen bermula hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, tindakan itu dilaksanakan sepanjang tempoh Parlimen bersidang untuk Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen Ke-15 bermula 19 hingga 21 Disember ini.

“Langkah itu menyusul rentetan terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai ingin membuat penyerahan memorandum kepada pihak tertentu yang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas ke laluan utama Parlimen.

“Pihak Polis menetapkan kawasan sekitar Tugu Negara dijadikan tempat berkumpul bagi memastikan kelancaran serahan memorandum.

“Sebarang kenyataan media oleh wakil penyerah hanya dibenarkan di sekitar kawasan Tugu Negara sahaja,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Menurut beliau, pihak polis akan memastikan keselamatan semua Ahli Parlimen dan lalu lintas di sekitar kawasan Parlimen berjalan lancar bagi tujuan persidangan Dewan Rakyat.

“Justeru, pihak polis menasihati orang ramai untuk tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi dan melanggar undang-undang,” tegasnya. – MalaysiaGazette