Kamarul Zaman Mamat menunjukkan barang rampasan yang berjaya dilakukan dalam serbuan oleh pihak polis.

JOHOR BAHRU – Seorang penjawat awam diberkas di sekitar Johor Bahru di sini selepas disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di dalam penjara sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan itu setelah siasatan dijalankan ke atas beberapa orang kena tuduh (OKT) sejurus polis menemui beberapa balutan dadah yang disembunyikan dalam seluar dalam suspek ketika di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, 15 Disember lalu.

Kejadian 10.30 pagi itu terbongkar setelah anggota polis cawangan mahkamah membuat pemeriksaan ke atas OKT reman Penjara Koreksional Ulu Choh, Iskandar Puteri dekat sini yang selesai menjalani perbicaraan di mahkamah.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sembilan biji balutan mampat dalam bentuk ‘barrel’ berisi dadah disembunyikan pada seluar dalam OKT.

“Ketika itu didapati OKT juga telah menelan sejumlah dadah sebelum pembedahan dibuat pihak hospital berjaya mengeluarkan enam lagi biji balutan mampat berbentuk ‘barrel’ berisi dadah itu.

“Susulan penemuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat lima serbuan berasingan di sekitar daerah ini dan berjaya menahan tujuh suspek termasuk penjawat awam terbabit dan tiga wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kata Kamarul lagi, modus operandi digunakan sindiket penyeludupan dadah itu dengan menelan dadah yang dibungkus dalam bentuk ‘barrel’ untuk dibawa masuk ke dalam penjara selepas selesai prosiding di mahkamah untuk diedarkan.

“Kita percaya dadah ini diberikan kepada OKT ketika transit, sama ada ketika dalam kenderaan yang membawa mereka ke lokap mahkamah atau ketika dibawa keluar ke van atau ke lori.

“Apabila kita kesan ahli sindiket ini, siasatan lanjut dijalankan dan kita dapati dua bulan lalu terdapat tangkapan seumpama ini dan mungkin ada kaitan dengan sindiket ini,” tambah beliau.

Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek yang berusia antara 25 hingga 37 tahun itu, dua daripadanya didapati positif methamphetamine.

Hasil semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Dalam serbuan itu polis berjaya merampas 44.74 gram ganja dan 28.84 gram syabu yang semuanya bernilai RM5,121 serta merampas wang tunai RM3,800.

Semua suspek kini direman enam hari sehingga hari ini dan akan disambung reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast