Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dibawa menaiki ambulans untuk dikejarkan ke hospital selepas pengsan ketika operasi mencarai mangsa yang tertibus dalam kejadian tanah runtuh di FatherÕs Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Seorang Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pengsan di tapak kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm Batang Kali  sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital sebentar tadi.

APM Selangor dalam satu kenyataan mengesahkan anggotanya, Prebet Muhamad Faiq Haikhal Mohd Jeffry yang bertugas di kawasan zon merah sejak operasi SAR bermula sekitar jam 7.30 pagi mengalami dehidrasi.

Ketika ini, operasi  SAR sedang giat dilakukan bagi mencari mangsa terakhir,  seorang kanak-kanak lelaki.

Namun sehingga jam 2 petang tadi belum ada tanda-tanda penemuan.

MalaysiaGazette yang turut berada di lokasi difahamkan anggota APM yang pengsan itu  keletihan kerana kerja-kerja mencari dan menyelamat semakin sukar.

Anggota berkenaan telah dikejarkan ke hospital dengan ambulans yang tiba ke lokasi jam 2 petang tadi.

Setakat ini belum ada apa-apa maklumat tambahan mengenai SAR yang dimulakan sejak 8 pagi tadi.

Keadaan terkini operasi mencarai mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di FatherÕs Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2022.

Rata-rata media yang tiba sekitar jam 7 pagi tadi masih lagi menantikan laporan terkini berhubung operasi hari ini.

Hari ini pasukan menyelamat menggunakan khidmat 10 anjing pengesan K9 dan sembilan jengkaut dalam usaha menjejak mangsa terakhir tragedi tanah runtuh itu.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata,  operasi hari ini melibatkan 53 anggota daripada bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Kelmarin polis berkata, angka mangsa terlibat dalam runtuhan itu diisytiharkan semula  seramai 92 orang daripada jumlah asal yang dianggarkan 94.

Empat mayat terdiri daripada satu lelaki dewasa, satu perempuan dewasa serta dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan dijumpai pada jam 11.04 pagi di sektor C (riverside), di sini pada Khamis lalu.

Kesemua mangsa berkenaan ditemui dalam satu bungkusan khemah di kedalaman tujuh meter.

Misi mencari diteruskan dalam keadaan cuaca panas terik ketika ini. -MalaysiaGazette