Jafri Firdaus Chew.

KUALA LUMPUR – Perubahan posisi dari penyerang kepada pertahanan kanan nyata membawa tuah tersendiri kepada bekas pemain Penang FC, Muhammad Jafri Firdaus Chew apabila aksinya berjaya menarik perhatian Sabah FC untuk diserapkan pada musim 2023.

Malah, dia sendiri semakin selesa dan gemar bermain di posisi terbabit yang disifatkan sebagai satu pilihan tepat buat dirinya dalam memastikan kesinambungan sebagai pemain bola sepak profesional.

Dalam masa sama, kehadiran Sabah di pentas Piala AFC pada musim 2023 menjadikan dia tidak berfikir dua kali untuk menerima cabaran bermain bersama skuad The Rhinos.

“Terus terang, saya tidak jangka cubaan pertama bermain selaku pertahanan kanan semasa bertemu JDT pada separuh akhir Piala FA mengubah karier saya.

“Ini satu cabaran baharu pergi ke Sabah dengan akan bermain posisi lain dan peluang untuk bermain di pentas Piala AFC, menjadikan saya teruja datang ke sini.

“Jurulatih telah berbincang tentang peranan saya di Sabah, yang mana beliau mahu banyak menggunakan saya di posisi pertahanan kanan.

“Namun dalam masa sama, meminta saya untuk sentiasa bersedia jika diperlukan di posisi lama iaitu selaku penyerang atau sayap jika keadaan memerlukan,” katanya.

Jafri sebelum ini amat dikenali semasa bermain dengan skuad bawah umur negara terutama di peringkat Bawah 23 dan 19 dengan membantu pasukan negara layak ke final Skuad Sukan Sea 2017.

Selepas memulakan karier yang baik di Penang (2016-17) dan PKNS (2018-19), nasib tidak menyebelahi Jafri apabila tidak beraksi selama satu musim pada 2020.

Dia kembali bersama Penang selama dua musim dari 2021 hingga 2022, musim ini dia diturunkan dalam 17 perlawanan termasuk TM Piala Malaysia dan Piala FA dengan 12 daripadanya bermula selaku kesebelasan utama.

Sementara itu, Jafri mengharapkan mampu menaikkan kembali kariernya di bawah sentuhan Datuk Ong Kim Swee, antara jurulatih yang mengembangkan bakatnya semasa di skuad Harimau Muda.

Aksi dua bekas tonggak Harimau Muda, Irfan Fazail dan Gary Steven Robbat, menjadi bukti sentuhan Kim Swee dalam memulihkan semula karier pemain.

“Semua orang tahun pengalaman beliau serta cara didikannya kepada pemain-pemain, jadi peluang bekerjasama dengan Kim Swee adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.

” Saya harap bersama beliau, tahap keyakinan serta karier saya sebagai pemain bola sepak profesional akan kembali meningkat sama seperti dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette