Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar bergambar bersama skuad bantuan banjir pada Majlis Pelepasan Skuad Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Insani Misi Bantuan Banjir 2022 di Kompleks Darul Kifayah, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM6 juta wang zakat yang dipungut Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dimanfaatkan untuk membantu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menurut Pengerusi MAIWP,  Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, menerusi Misi Bantuan MAIWP Insani yang bakal diagihkan mulai hari ini, sebanyak RM3 juta daripada jumlah peruntukan zakat akan digunakan untuk sumbangan bantuan kewangan.

Manakala RM2 juta lagi untuk skuad Misi Bantuan MAIWP INSANI manakala selebihnya disalurkan bagi pasca banjir di bawah Skuad Musa’adah.

“MAIWP mengambil cabaran untuk berada di lapangan membantu mangsa-mangsa banjir  yang melanda beberapa negeri di Malaysia Pantai Timur khususnya.

“MAIWP mengambil cakna dengan cepat dan pantas telah meluluskan bajet RM6 juta,” katanya.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menampalkan pelekat pada kenderaan bantuan banjir Majlis Pelepasan Skuad Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Insani Misi Bantuan Banjir 2022 di Kompleks Darul Kifayah, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2022.

Terdahulu, Mohd Daud merasmikan Pelepasan Skuad MAIWP Insani ke Kelantan, Terengganu dan Pahang di sini hari ini.   

Turut hadir,  Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

Mohd Daud berkata, pasca banjir merupakan tempoh yang kritikal buat mangsa yang memerlukan sokongan dan bantuan untuk kembali kepada kehidupan sebelum ini.

“Pada masa ini adalah kritikal, di penghujung banjir ini yang diperlukan adalah tenaga manusia untuk membantu mereka yang terkesan dengan banjir, air masuk rumah untuk membersihkan rumah.

“Atas dasar itu, MAIWP kerjasama dengan pelbagai NGO oleh itu MAIWP ke Kelantan dan Terengganu untuk melaksanakan bantuan membersihkan rumah juga,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, MAIWP turut menggerakkan Skuad MAIWP Insani yang akan membantu mangsa banjir membersihkan rumah masing-masing.

“Dijangkakan di setiap negeri yang kita pergi di Kelantan dan Terengganu, skuad kita akan santuni 1,500 mangsa bergantung dengan keadaan,” jelasnya. -MalaysiaGazette