KUALA LUMPUR – Perkelahan tujuh penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Sungai Syiling Peretak Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dekat sini hari ini bertukar tragedi apabila dua daripadanya ditemui mati lemas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa pertama dibawa naik oleh rakan-rakan mangsa dalam keadaan tidak sedar diri sebelum anggota bomba memberikan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mangsa kedua pula dijumpai pada pukul 12.45 tengah hari tadi oleh anggota bomba yang turun melakukan pencarian mangsa lemas dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua mangsa, Shaik Rahim Khan Salauddin dan rakannya Muhammad Arief Haiqal Azhan masing-masing berusia 21 tahun dan berasal dari Bernam Jaya serta Kampung Dagang Setia KKB.

“Mayat kedua-dua mangsa lemas telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” kata Norazam.

Sebelum itu, menurutnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu telah bergegas ke lokasi sebelum tiba jam 12.21 tengah hari tadi selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai. -MalaysiaGazette