Seorang suami dan isteri orang masing-masing mempunyai lima dan tiga anak antara enam pasangan yang dicekup dalam Operasi Ambang Tahun Baharu di sebuah hotel bajet Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang suami dan isteri orang masing-masing mempunyai lima dan tiga anak antara enam pasangan kekasih yang dicekup dalam Operasi Ambang Tahun Baharu di sebuah hotel bajet Simpang Ampat, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lelaki berusia 56 tahun dan wanita 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota pencegah maksiat pada jam 1.36 pagi.

Menurutnya, ketika ditahan, lelaki bekerja kilang itu pada awalnya mengaku bermalam di hotel itu bersama isterinya namun gagal menunjukkan bukti pernikahan yang sah apabila diminta manakala pasangannya tidak membawa kad pengenalan diri.

“Lelaki berasal dari sini yang masih mempunyai isteri dan lima anak itu akhirnya mengaku pasanganya adalah bakal isteri yang baru tiba dari Sabah di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum bermalam di hotel itu.

“Manakala wanita berkenaan yang mengaku mempunyai suami dan tiga anak di Sabah tu mendakwa baru kehilangan kerja kilang di Kuala Lumpur dan terhutang budi dengan pasangannya itu yang banyak menjaganya di Semenanjung,” katanya.

Che Sukri Che Mat

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi berkenaan bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah yang berakhir pukul 5 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, turut ditahan adalah lelaki warga Bangladesh berusia 26 tahun dan pasangannya berumur 33 tahun yang mendakwa baru dua hari kenal di tempat kerja kilang mereka.

“Ketika diperiksa di sebuah hotel bajet di Rembia, pasukan kami turut menemui sebotol cecair dan wanita itu mendakwa ia untuk kegunaan mengurut pasangannya itu yang baru dua hari dikenali.

“Turut ditahan di hotel sama pada pukul 3.20 pagi adalah pasangan muda berusia 21 dan 24 tahun yang berniaga burger di Kuala Lumpur dan memberi alasan datang ke Melaka untuk bertemu keluarga bagi membincangkan rancangan perkahwinan,” katanya.

Tambahnya, sehubungan itu semua enam pasangan kekasih berusia antara 21 hingga 56 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.