Fuziah Salleh

KUANTAN – Masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran dapat diselesaikan selewat-lewatnya enam bulan lagi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana isu tersebut hanya sementara berikutan kerajaan sudah mengambil langkah proaktif bagi menanganinya.

“Antara keputusan segera dibuat kerajaan adalah membenarkan import telur (ayam) bagi menstabilkan semula bekalan di negara ini dan memastikan bahawa jumlah bekalan cukup dalam pasaran.

“Rakyat Malaysia ini banyak menggunakan telur, purata satu hari 32 juta, maksudnya satu orang makan sebiji telur, jadi kalau ada yang tidak makan telur, dia boleh cover baliklah buat mereka (pengusaha) yang buat kuih dan sebagainya,” katanya.

Fuziah berkata demikian selepas majlis Perasmian Kedai Bakeri Bake With Wawa di Indera Mahkota 7, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

Tular video dakwa tak cuci telur, pemilik gerai roti canai mohon maaf

Pengguna curiga dengan telur import dari India

Menurut Fuziah, pihaknya akan memastikan isu tersebut ditangani mengikut protokol serta tatacara ditetapkan kerajaan tanpa kompromi kepada mana-mana pihak.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan akan memastikan telur ayam yang diterima selamat digunakan dan menepati piawaian yang telah ditetapkan.

“Apa yang tak cukup sekarang ini dalam 14 peratus, kita import sementara kita dapatkan bekalan, mungkin mengambil masa dalam enam bulan, lepas itu insya-Allah kita dapat stabilkan balik bekalan,” katanya. – MalaysiaGazette