Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman melihat motosikal yang disita atas beberapa kesalahan sempena operasi khas malam ambang tahun baharu 2023 ketika di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Polis mengeluarkan sebanyak 372 saman menerusi Op Ambang Tahun Baharu yang dilakukan di sekitar ibu negara, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, saman tersebut dikeluarkan susulan pelbagai kesalahan terutama membabitkan penunggang motosikal.

Katanya, sebanyak 26 sekatan jalan raya (SJR) diadakan di lokasi-lokasi tumpuan di seluruh ibu negara sebagai langkah memastikan penurunan kadar kemalangan maut, selain menangani pemandu mabuk di jalan raya.

“Sebanyak 372 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 10 buah motosikal disita kerana mengubah suai struktur kenderaan.

“Pemeriksaan dijalankan ke atas 619 motosikal, kereta (171), van (19), jeep (32) melibatkan 848 individu turut diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

“Kita ada operasi pemandu mabuk…kita lihatlah macam mana sama ada kesalahan itu melibatkan pemandu mabuk seperti dinyatakan tiga operasi utama iaitu samseng jalanan, pemanduan mabuk dan kesalahan-kesalahan lain lalu lintas,” katanya kepada media selepas meninjau Op Ambang Tahun Baharu di Jalan Loke Yew menghala ke ibu negara, malam tadi.

Yahaya berkata, seramai 12 penunggang motosikal berumur lingkungan 15 hingga 21 tahun ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) kerana menunggang secara melulu dan melakukan aksi-aksi berbahaya.

Pada masa sama, seramai empat individu telah ditahan mengikut Seksyen 45 APJ 1987 kerana didapati memandu dan menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol.

“Matlamat utama operasi berkenaan adalah tugas penyuraian trafik di Bandaraya Kuala Lumpur bagi memastikan trafik lancar semasa sambutan tahun baru.

“Kerjasama diberikan orang ramai amat baik, mereka faham tugas polis terutama pada ambang tahun baru ini untuk kita menjaga keselamatan pengguna dan memastikan tiada pemandu mabuk,” ujar beliau.

Penunggang motosikal yang bertindak melawan arus bagi mengelak dari sekatan jalan raya sempena operasi khas malam ambang tahun baharu 2023 ketika di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2022.

Katanya, operasi yang digerakkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu melibatkan seramai 180 pegawai dan 2,000 anggota polis.

Ujarnya, tumpuan utama dilakukan di beberapa lokasi strategik termasuk jalan sekitar Bukit Bintang dan beberapa jalan utama masuk ke ibu kota. – MalaysiaGazette