Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan Perhilitan mengambil masa lebih lima jam untuk menangkap dan menyelamatkan seekor Tapi Malaya betina yang berkeliaran sebelum terperangkap ruang tingkat lima parkir kenderaan di sebuah hotel di pusat bandar Melaka hari ini.

MELAKA – Pengunjung sebuah hotel di pusat bandar Melaka hari ini gempar apabila seekor tapir betina seberat lebih 250 kilogram ditemukan berkeliaran di ruang parkir tingkat lima hotel berkenaan pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Sofian Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.04 pagi tadi sebelum mengerahkan lapan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati seekor tapir betina berada di tingkat lima hotel bersebelahan Dataran Pahlawan.

Keadaan seekor Tapi Malaya betina yang berkeliaran sebelum terperangkap ruang tingkat lima parkir kenderaan di sebuah hotel di pusat bandar Melaka hari ini.

“Pihak kami kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka untuk bantuan lanjut.

“Operasi menangkap dan menyelamat tamat pada jam 2.30 petang sebelum haiwan itu diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd. Firrdhaus Mahmood berkata, pihaknya sememangnya sudah bersedia untuk menangkap tapir, atau nama saintifiknya Tapirus Indicus, berkenaan sejak dua minggu lalu apabila menerima aduan daripada orang ramai.

“Sebenarnya, pasukan kami sudah bersedia di kawasan sekitar kerana dua minggu lalu kami menerima aduan mengenai kehadiran haiwan itu yang dikategorikan sebagai spesies terancam berkeliaran di kawasan sekitar untuk mencari makan.

“Memang kawasan aduan juga di sekitar sini dan apabila ia ditemui terperangkap, lebih mudah untuk kami menyelamatkanya,” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.

Mohd. Firrdhaus Mahmood

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan spesies tapir betina ini yang mempunyai habitat sekitar sempadan Melaka dan Negeri Sembilan datang dari kawasan Asahan.

“Berdasarkan pemerhatian awal, berat haiwan ini mungkin sekitar 250 kilogram atau kurang 300 kilogram yang dilindungi sepenuhnya.

“Kes tapir ini agak terpencil dan jarang berlaku dan setakat ini kita percaya ianya hanya seekor sahaja dan ia akan dihantar ke
Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati, lebih 10 anggota bomba dan Perhilitan terpaksa mengambil masa lebih lima jam untuk menangkap haiwan berkenaan yang diberikan suntikan pelali sebelum diselamatkan pada jam 2.30 petang. – MalaysiaGazette