KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan digesa supaya membentangkan laporan terperinci mengenai agihan bantuan mangsa banjir di negeri berkenaan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain.
Itu gesaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan yang merujuk kenyataan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Kedah berkenaan jumlah bantuan banjir yang diberikan kepada Kelantan secara keseluruhan berjumlah RM50.7 juta.
Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad berkata, dengan jumlah bantuan banjir yang diberikan itu ia sudah pasti akan melegakan mangsa banjir agar mereka dapat merancang serta membina semula kehidupan masing-masing setelah bantuan pasca banjir selesai.
“ABIM Kelantan menggesa kerajaan negeri membentangkan mekanisme dan prosedur rapi bagi memudahkan masyarakat awam untuk membuat permohonan bantuan banjir.
“Membentangkan laporan agihan bantuan banjir kepada awam melalui sidang media khas secara terperinci pada Mac 2023 untuk memaparkan ke mana RM50.7 juta yang diberikan kepada kerajaan negeri itu disalurkan.
“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri juga digesa untuk melaporkan secara terperinci, pelan jangka masa panjang bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini serta garis masa pelan tersebut, supaya rakyat mengetahui proses penambahbaikan yang dilakukan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, pihaknya berharap agar berajaan negeri dapat menunjukkan ketelusan dalam menguruskan bantuan banjir diberikan pelbagai pihak seperti yang disuarakan demi manfaat rakyat Kelantan yang terkesan dengan banjir secara keseluruhannya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera RM50 juta masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu yang terjejas dengan banjir.
Katanya, bantuan tersebut diluluskan kerana banjir yang berlaku adalah lebih parah dari biasa. – MalaysiaGazette