KUALA LUMPUR – Bekalan air di beberapa kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan susulan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park Sungai Buloh, semalam
dijangka pulih sepenuhnya pukul 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, daerah Gombak mencapai telahpun mencapai tahap 99 peratus manakala Kuala Lumpur 50 peratus setakat pukul 3 petang tadi.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air dijangka untuk pulih sepenuhnya pada jam 9.00 malam, 2 Januari 2023 (Isnin),” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Pengguna juga diharap menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya.

Semalam kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park menyebabkan gangguan air tidak berjadual di 83 kawasan sekitar wilayah Gombak dan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette