Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Lebih 50,000 penyokong bola sepak tempatan dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) esok untuk menyaksikan perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di antara Malaysia menentang Singapura.

Menerusi hantaran terbaharu di Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini berkata, sebanyak 38,819keping tiket sudah pun terjual dan jumlah tersebut akan meningkat menjelang perlawanan malam esok.

Sebelum ini, harga tiket terbuka daripada RM50 kepada RM30 diturunkan dan ini turut membuatkan para penyokong tidak sabar untuk hadir ke stadium memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya.

Tiket Premium yang sebelum ini berharga RM70 dan RM60, kini diturunkan ke RM50; tiket Grandstand yang sebelum ini berharga RM100 dan RM70, kini diturunkan ke RM60; manakala tiket kanak-kanak (6-12 tahun) yang sebelum ini berharga RM10, kini diturunkan ke RM5.

Bagaimanapun, FAM tidak dapat memberikan harga promosi kombo seperti yang pernah dibuat ketika Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lalu kerana perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 hanya membabitkan dua perlawanan yang mana jaraknya agak jauh iaitu beza 10 hari bagi kedua-dua perlawanan, berbanding tiga perlawanan dalam tempoh selang tujuh hari pada Kelayakan Piala Asia 2023.

Sementara itu, perlawanan malam esok cukup penting dan bakal menentukan sama ada skuad kendalian Kim Pan Gon kali ini berjaya mara ke peringkat separuh akhir atau tidak.

Malaysia wajib mencatat kemenangan kerana Singapura kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan B dengan tujuh mata apabila berjaya mengikat Vietnam tanpa jaringan kelmarin.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari ini dan 9 atau 10 Januari manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari depan.

Sementara itu, peminat boleh mendapatkan tiket tersebut menerusi laman web TicketHotline. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast