Lokasi tempat pengumpulan pasir yang terletak kira-kira lima meter daripada rumah Zaleha Abd Ghani

KUANTAN – Proses pembangunan sesebuah lokaliti tidak seharusnya menjejaskan kesejahteraan dan kesihatan penduduknya apatah lagi infrastruktur sedia ada.

Demikian luahan penduduk Kampung Bukit Palas, Cherating di sini, Rokiah Yusop, 64, yang kecewa setelah pihak pengusaha pasir berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadikan kawasan berhampiran rumahnya sebagai tempat pelambakan pasir sejak kira-kira dua bulan lalu.

“Kalau mereka simpan pasir menggunung, macam manalah nasib mak cik yang tinggal di rumah belakang. Mungkin mak cik akan duduk di rumah sahaja. Nak keluar tak boleh, jemur kain tak boleh sebab berhabuk,” luahnya.

Rokiah Yusop

Lebih menyedihkan apabila salah seorang cucunya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana diserang lelah akibat debu daripada aktiviti tersebut.

“Mak cik ada tiga cucu yang kecil darjah satu, tadika seorang. Cucu kalau balik kampung ada 20 orang. Tak boleh bermain di luar rumah kalau balik kampung,” tambahnya.

Selain tempat simpanan pasir, kawasan itu juga dijadikan tempat penyimpanan dan pengumpulan balak hasil aktitiviti pambalakan daripada hutan di kawasan berhampiran.

Apa yang dikesalkan Rokiah adalah kaedah yang digunakan pengusaha di tempat pengumpulan balak itu yang tidak mematuhi standard piawaian dan tidak selamat bagi penduduk.

“Kalau balak ini pun takut juga, kalau dia (balak) bergolek atas jalan, penyek habislah. Jadi masalah, tambah naik darah duk memikirkan. Tuhan sahaja yang tahu.

“Nak minta pihak-pihak ini bertimbangrasa lah sikit. Mak cik ini dah lama duduk sini, tak mahu ganggu sangat pembangunan.

“Biarlah, mak cik suka pembangunan tapi janganlah sampai mengganggu kesihatan anak cucu makcik,” luahnya lagi.

Tumpahan pasir daripada lori di laluan berhampiran rumah Rokiah Yusop

Begitu juga dengan seorang lagi penduduk, Zaleha Abd Ghani, 52 yang mengadu masalah sama sejak pengusaha pasir terbabit menjadikan kawasan hadapan rumahnya sebagai pusat simpanan pasir.

“Jarak dari rumah boleh tengok sendirilah, dalam lima meter sahaja. Masalah debu, lori keluar masuk kadang tu sampai pukul 6 petang. Ini baru tinggi ini (pasir), nanti kita tak tahu sampai tinggi mana,” katanya.

Zaleha Abd Ghani (Kiri) dan menantu, Siti Nor Hafifah Khari (kanan)

Dia juga mengakui tidak boleh membuka tingkap rumah dan perlu mengelapn kenderaan saban hari ekoran debu daripada lori yang mengangkut pasir ke kawasan itu.

“Nombor dua, keselamatan. Sebab lori keluar masuk. Anak-anak cucu-cucu tak bolehlah nak main petang-petang kat luar. Setakat duduk dalam pagar pun kena hati-hati tengok,” jelasnya.

Sementara itu, prihatin dengan aduan penduduk yang semakin tersepit di kampung tersebut, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu turun ke lokasi untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan tersebut.

“Kita telah panggil kedua-dua pihak ini untuk berbincang secara baik dan aman untuk mencari kaedah atau cara yang terbaik untuk laksanakan supaya gangguan dapat dikurangkan bagi penduduk setempat,” katanya kepada pemberita di sini.

Andansura Rabu (tengah) bersama wakil pengusaha balak dan pasir dalam pertemuan di Kampung Bukit Palas, Cherating, di sini hari ini

Beliau berkata, hasil perbincangan telah mencapai persetujuan daripada semua konsesi terlibat untuk memperbaiki kerosakan jalan berpunca daripada penggunaan jentera berat di laluan tersebut.

“Pengusaha pasir bersetuju untuk mengurangkan debu yang mengganggu persekitaran dengan menaikkan tirai supaya menghalang debu pasir itu daripada mengganggu penduduk yang berhampiran.

“Disamping itu, mereka bersetuju untuk mematuhi peraturan dengan menutup pasir tersebut semasa mengangkut daripada pusat pengorekan pasir sehingga ke pengumpulan yang ada di kampung ini,” katanya.

Difahamkan, aktiviti melibatkan pengumpulan pasir dijangka selesai dalam tempoh dua tahun manakala aktiviti pembalakan pula mungkin mengambil masa sehingga enam bulan lagi bergantung kepada keadaan cuaca.

“Di sini sedang dilaksanakan projek membangunkan landasan ECRL. Seterusnya, pembangunan lapangan terbang. Jadi kampung ini memang berdepan dengan banyak pembangunan yang akan terkesan.

“Jadi, orang-orang kampung perlu bersiap sedia juga lah dengan perkara ini. Gangguan memang akan ada lagi,” kata Andansura lagi.

Beliau juga memaklumkan pengusaha perlu melaksanakan kerja-kerja pembaikan infrastruktur secara berperingkat sehingga selesai projek bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan kira-kira 300 keluarga yang menetap di kawasan berkenaan.

Ia berikutan laluan terbabit merupakan satu-satunya laluan keluar masuk kampung ini dan juga digunakan untuk anak-anak penduduk untuk ke sekolah.

“Jadi, kita bersetuju juga supaya lori-lori pengusaha balak dan pasir ini tidak beroperasi sehingga pukul 8 pagi sebagai langkah-langkah keselamatan pelajar sekolah,” tambahnya. -MalaysaiGazette