Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah melihat kraf tangan Jabatan Penjara Malaysia ketika melawat galeri Vokasional dan Industri sempena lawatan rasmi di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 JANUARI 2023.

KAJANG – Kerjasama membabitkan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadi topik perbincangan mesyuarat Majlis Presiden PH pada Sabtu ini.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, satu post-mortem akan dilakukan bagi meneliti semula kesemua pencapaian yang diraih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Pada 7 Januari ini, kita akan adakan mesyuarat rasmi yang pertama untuk tahun ini. Saya percaya kita akan bincang post-mortem PRU15 yang lalu dan juga persiapan kita menghadapi PRN di enam negeri yang akan berlangsung kurang enam bulan dari sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan rasmi ke Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.

Kata Saifuddin, beliau jarang mengulas mengenai isu politik semasa menjalankan tugas rasmi namun bagi menjawab pertanyaan media, beliau memberitahu, mesyuarat itu akan diadakan di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya pada pukul 4 petang.

Sebelum ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, kejayaan penubuhan Kerajaan Perpaduan sudah semestinya akan membawa kerjasama di peringkat negeri seperti yang berlaku di Perak dan Pahang.

PRN yang dijangka berlangsung kurang daripada enam bulan akan membabitkan negeri Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette