Dua kanak-kanak maut selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Gombak awal pagi semalam. - Gambar ihsan Bomba Selangor.

GOMBAK – Polis masih belum memanggil dan mengambil keterangan daripada ibu bapa kepada dua adik beradik yang ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Simpang Tiga di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mayat kedua-dua kanak-kanak tersebut masih berada di bilik mayat bahagian forensik Hospital Selayang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, polis tidak bertindak terburu-buru dalam mendapatkan keterangan daripada ibu bapa kedua-dua mangsa dan telah memberikan masa kepada mereka yang masih dalam keadaan trauma akibat tragedi berkenaan.

“Kita kena faham perlu kasihan ibu bapa mangsa yang masih dalam keadaan susah macam itu dan trauma memikirkan insiden ngeri itu.

“Atas dasar kemanusiaan bagilah peluang kepada mereka masih trauma agar mereka kenbali kepada keadaan asal dan tenang. Kita tak duduk tempat dia jadi kita tak tahu perasaan sedih mereka selepas kehilangan dua anak mereka dalam kebakaran itu

“Ibu bapa kini berada di hospital menunggu hasil bedah siasat sementara pihak hospital pula sedang menguruskan proses bedah siasat jenazah dan sebagainya sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan kelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Zainal Mohamaed, pasukannya akan berjumpa dengan ibu bapa mangsa berkenaan dan masih sedang menunggu kebenaran pihak hospital untuk proses siasatan lanjut.

Katanya, selepas segala urusan berkaitan kedua-dua mangsa rentung kebakaran itu selesai dan keadaan ibu bapa sudah bersedia barulah polis akan  merakam percakapan mereka.

Dalam kejadian lebih kurang pukul 3.30 pagi itu, kebakaran yang berlaku di rumah kampung itu telah mengorbankan nyawa dua beradik, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10 dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, di rumah mereka.

Pasukan bomba yang berjaya mengawal dan memadamkan api sepenuhnya telah melakukan pemeriksaan di dalam rumah sebelum menemui mayat dua beradik itu dalam bilik utama rumah berkenaan.

Semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan berkata pihaknya dalam proses untuk mendapatkan laporan polis berkaitan insiden kebakaran yang menyebabkan dua kanak-kanak rentung sebelum menentukan sama berlaku unsur cuai ibu bapa yang mengorbankan dua beradik itu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung kebakaran itu untuk sama ada ibu bapa mangsa melakukan kesalahan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana cuai.

Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) menggariskan mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak.

Seksyen 31(1)(a) menyatakan adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi. – MalaysiaGazette