GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak culas dalam memastikan wujud kesedaran undang-undang dalam kalangan anggota polis.
Ia susulan kejadian seorang pegawai polis dilaporkan merogol gadis bawah umur ketika melakukan siasatan berhubung dakwaan remaja itu dirogol bapa tirinya.
Syerleena berkata, KDN tidak boleh terus mandom, sebaliknya perlu menjadi pembela rakyat dalam hal-hal salah laku pihak polis serta salah guna kuasa yang telah terbukti selama ini.
Jelas beliau, pihaknya juga berharap supaya penguatkuasaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) pada Jun tahun ini yang telah disahkan oleh Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution akan dapat mencegah salah guna kuasa oleh pihak polis ketika menjalankan siasatan sebegini.
“Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kemarahan saya apabila mendapat maklumat tentang kes ini.
“Bagaimana seorang pegawai lelaki boleh dibiarkan bersendirian dengannya? Adakah ini termasuk dalam prosedur siasatan polis tanpa kehadiran pegawai perubatan atau pegawai wanita?
“Ini langsung tidak masuk akal dan perlu disiasat secara teliti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Syerleena, polis perlu menjalankan siasatan secara adil tanpa menyebelahi anggota yang terlibat memandangkan ini merupakan satu dakwaan yang sangat serius.
“Pihak polis perlu sedar bahawa mereka tidak kebal dari tindakan undang-undang sehingga berani untuk berbuat sesuka hati,” kata beliau.