Foto media sosial.

KUALA LUMPUR – Bek kanan negara, Muhammad Azam Azmi Murad digantung dua perlawanan dan didenda RM4,406 (USD1,000) selepas insiden kontroversi layangan kad merah gara-gara mengasari pemain Vietnam, Doan Van Hau ketika aksi kumpulan B saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada 27 Disember lalu.

Perkembangan terkini itu dibuat menerusi kenyataan dari pihak Jawatankuasa Teknikal dan Etika Persekutuan AFF yang mendapati bahawa pemain Terengganu FC (TFC) itu bersalah dalam insiden kekasaran yang berlaku ketika Malaysia bertandang ke laman Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi.

Dalam kenyataan itu juga menjelaskan bahawa Azam Azmi akan terlepas dua perlawanan kejohanan berkenaan termasuk aksi menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Selain itu, denda yang dikenakan terhadap pemain berusia 21 tahun tersebut juga perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan yang dibuat iaitu semalam.

“Muhammad Azam Azmi Murad diminta supaya sentiasa berkelakuan baik dan tidak mengulangi perbuatan itu. Jika perkara seperti tersebut berlaku lagi, tindakan yang lebih tegas akan diambil keatasnya,” jelas jawatankuasa tersebut.

Sebelum ini kecoh apabila pengadil perlawanan, Ryuji Sato melayangkan kad merah kepada Azam Azmi sebelum memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah membenam Malaysia 0-3.

Tindakan pengadil dari Jepun itu mendapat kecaman dari penyokong bola sepak tanah air sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar surat rasmi kepada pihak AFF berhubung ketidakpuasan hati ke atas mutu pengadilan pada aksi penuh kontroversi itu. – MalaysiaGazette