Pemain Malaysia, Darren Yee Deng Lok meraikan gol pertama semasa menentang pasukan Singapura, pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF)  selepas mencatatkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Singapura malam tadi.

Dalam aksi peringkat Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil,  anak buah bimbingan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon turun dengan misi wajib menang selepas berada pada kedudukan ketiga dalam kumpulan di belakang Vietnam dan Singapura dengan enam mata sahaja.

Singapura yang turun beraksi dengan hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir pada temasya kali ini, bagaimanapun dikecewakan tuan rumah.

Muhammad Safawi Rasid (kanan) menanduk bola sambil direbut pemain Singapura, M. Anumanthan (kiri) pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2023.

Memulakan aksi separuh masa pertama, Malaysia yang diketuai Safawi Rasid selaku Kapten Harimau Malaya mempamerkan gerakan menarik menerusi beberapa percubaan tepat dan serangan balas di gawang lawan kendalian Takayuki Nishigaya.

Namun sehingga minit ke-30 Harimau Malaya terus buntu untuk memecahkan ego benteng pertahanan pasukan pelawat yang diketuai kapten Hariss Harun.

Bagaimanapun, pintu gol Singapura akhirnya bocor pada minit ke-35 apabila Darren Lok membuka gol pertama menerusi tandukan kencang sekaligus meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan.

Shahrul Nazeem Zulpakar (tengah) mengasak pemain Singapura, Amy Recha (kanan) pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2023.

Berbekal semangat tinggil gol itu, skuad Pan Gon meneruskan rentak permainan yang kemas dan teratur dengan serangan balas berintensiti tinggi bagi menambah jaringannya.

Bagaimanapun, perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah.

Bermula di separuh masa kedua, Malaysia terus melakukan serangan pantas sebelum berjaya membuka gol menerusi Stuart John Wilkin pada minit ke-50.

Penyokong Harimau Malaya bersorak meraikan jaringan selepas pasukan Malaysia berjaya membolosi pasukan Singapura pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2023.

Belum sempat Singapura bangkit selepas dibolos gol kedua itu, Harimau Malaya sekali lagi menghukum pasukan pelawat, mencetuskan sorakan kegembiraan kepada lebih 56,000 penyokong apabila gol ketiga menerusi Stuart John Wilkin pada minit ke-54 perlawanan.

Dengan mendahului 3 gol menentang negara jiran itu, Malaysia seolah-olah belum cukup berpuas hati dengan gol itu, meneruskan serangan ‘rakus’ di gawang lawan untuk menambah jaringan.

Malaysia membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan Mohammad Faisal Abdul Halim dan menggantikannya dengan Muhammad Haqimi Azmin Rosli pada minit ke-68 perlawanan.

Penjaga gol Malaysia, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed cuba menyelamatkan pintu gol dari serangan pasukan Singapura pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2023.

Memasuki minit ke-85, gol tunggal Singapura dijaringkan oleh Faris Ramli akibat kecuaian bek pertahanan pasukan tuan rumah.

Namun, Malaysia bangkit menambah gol keempat pasukan menerusi rembatan kencang Sergio Aguero pada minit ke-88 perlawanan.

Sokongan padu 65,147 penyokong yang setia memberi semangat kepada skuad Harimau Malaya, turut memeriahkan suasana di dalam stadium sepanjang perlawanan berlangsung malam tadi. – MalaysiaGazette