KUALA LUMPUR – Pelakon Zarina Zainuddin meluahkan rasa marah terhadap tohmahan netizen yang mendakwa dia membuat pembedahan hidung hingga menyebabkan raut wajahnya kelihatan berbeza berbanding sebelum ini.
Perubahan hidung pelakon drama Teduhan Kasih itu mula menjadi perhatian ketika Zarina mempromosikan festival makanan di Singapura, beberapa hari lalu.
Ini menyebabkan netizen membuat pelbagai komen nakal kononnya ibu kepada empat cahaya mata itu membuat pembedahan hidung.
Geram dengan spekulasi dilemparkan, Zarina akhirnya bersuara menerusi video pendek dimuat naik dalam IG menjelaskan keadaan sebenar gara-gara netizen yang suka menuduhnya tanpa usul periksa.
“Saya baca macam-macam komen. Bagi yang tak mengenali, saya ada masalah sinus yang teruk dan migrain.
“Sampai satu tahap rasa hendak buka tudung sebab terlalu sakit kepala. Ada masanya sampai rasa hendak menghantuk kepala ke dinding.
“Saya jumpa doktor dan buat pembedahan untuk mengeluarkan bendalir di bawah mata. Anda boleh nampak kesannya, ingat saya sengaja nak hidung macam ni?” katanya.
Zarina menjelaskan, masalah sinus membuatkannya selalu sakit kepala dan jadi hendak marah sehingga mengganggu kerja.
“Saya buat pembedahan kerana masalah kesihatan. Bagi yang tak tahu menahu, jangan sesuka hati komen.
“Saya minta netizen buat fitnah ini jumpa saya untuk mohon maaf sebelum meninggal dunia atau terpaksa merangkak mencari saya di akhirat kelak. Ingat saya hendak hidung seperti ‘b**i?’ tempelak Zarina.
Tambah Zarina, dia tersinggung dengan komen tanpa usul periksa sehingga membuatkannya asyik menangis dan sakit kepala.
Katanya, anaknya Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan atau Azal juga menghadapi masalah sama.
“Azal pun alami masalah sama, tetapi saya tak sanggup nak buat pembedahan disebabkan keadaannya begitu. Jadi, Azal hanya makan ubat.
“Saya terima keadaan saya. Jika anda sayangkan saya, tolong doakan.. Jangan hanya sedap cakap, hati orang terluka ‘korang’ masih boleh ketawa,” tulisnya. – MalaysiaGazette