Penyokong Harimau Malaya bersorak meraikan jaringan selepas pasukan Malaysia berjaya membolosi pasukan Singapura pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya mengakui sokongan hebat lebih 65,147 penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi menyuntik semangat juang tinggi pasukannya untuk menundukkan Singapura 4-1.

Kemenangan itu sekali gus mengesahkan Malaysia untuk tiket ke separuh akhir Piala AFF 2022.

Kim Pan Gon berkata, kejayaan menundukkan Singapura itu merupakan antara persembahan terbaik skuad Harimau Malaya pada saingan Piala AFF 2022.

“Tahniah dan saya menghargai sumbangan sokongan yang tinggi dizahirkan penyokong kami yang membanjiri stadium malam ini, ternyata aura itu memastikan skuad Harimau Malaya beraksi dengan lebih bertenaga sepanjang 90 minit perlawanan itu.

Pemain Malaysia, Stuart John Wilkin meraikan jaringan bersama rakan pasukannya selepas berjaya membolosi pasukan Singapura pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2023.

“Ini sudah pasti malam terindah untuk semua dan salah satu aksi terbaik yang dapat dipamerkan anak buah saya atas padang. Dengan kesungguhan dan kerjasama pasukan saya ternyata tidak menghampakan semua yang hadir ke stadium,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di stadium malam tadi.

Pan Gon menambah, beliau langsung tidak menjangkakan pasukannya boleh menjaringkan jumlah gol yang banyak.

“Saya tidak pernah memaksa atau tekan budak-budak saya menjaringkan gol banyak.. sebaliknya saya membiarkan mereka menyerlahkan segala potensi dan mempamerkan aksi yang menghiburkan atas padang dan enjoy jaringkan gol tanpa paksaan.

“Malam ini ia terbukti selepas menjaringkan gol pertama di separuh masa pertama, mereka seolah-olah harimau yang masih dahaga, terus memburu dan menambah jaringan dan mempamerkan aksi menghiburkan.

“Selepas aksi yang agak mengecewakan di Vietnam, malam ini skuad Harimau Malaya tidak menghampakan kita semua dan diharap intensiti tinggi ini diteruskan dalam aksi akan datang,” ujarnya.

Pemain Malaysia, Stuart John Wilkin meraikan jaringan selepas berjaya membolosi pasukan Singapura pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2023.

Beliau mengakui pasukannya memang menghadapi tekanan sebelum perlawanan untuk mendapatkan tiga mata penting itu selepas turun dengan misi hidup atau mati pada tempat ketiga dalam Kumpulan B di belakang Vietnam dan Singapura.

Dalam pada itu, pemain terbaik perlawanan malam tadi, Stuart Wilkin ketika bercakap kepada pemberita memmaklumakn bahawa dia sudah bersiap sedia untuk menghadapi tekanan menentang Thailand dalam aksi separuh akhir pertama yang akan berlangsung di stadium sama 7 Januari ini.

Stuart yang berjaya menjaringkan tiga gol dalam jersi Harimau Malaya dalam temasya AFF kali ini mengakui dia akan menjadi perhatian khusus untuk pasukan Gajah Putih itu Sabtu nanti.

“Saya tahu semua akan fokus pada saya khususnya pasukan lawan nanti dan saya sudah bersedia pergi memberikan yang terbaik dengan menyarung jersi Harimau Malaya nanti dan menjaringkan lebih banyak gol untuk skuad kebangsaan,” ujarnya.

Dalam aksi menghiburkan itu, empat gol pasukan hadir menerusi Darren Lok, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero manakala gol tunggal Singapura hadir menerusi Faris Ramli.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast