KUALA LUMPUR – Negara memerlukan sebuah sistem ekonomi yang mempedulikan golongan M40, saran Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil.
Beliau berkata, setiap kali idea subsidi atau bantuan bersasar dibincangkan, golongan M40 kebiasaannya tidak diberi perhatian walaupun mereka turut terkesan akibat beban percukaian dan tidak menerima bantuan tunai sepertimana golongan B40.
“M40 dikategorikan sebagai isirumah berpendapatan RM4,850 hingga RM10,959 sebulan. Sebuah keluarga yang berpendapatan RM4,850 di Kuala Lumpur dianggap sebagai M40, sama seperti keluarga lain di Kota Bharu.
“Tetapi, hakikatnya kos sara hidup lebih menekan keluarga di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, apatah lagi jika mempunyai tanggungan yang banyak.
“Oleh itu, M40 menerima tekanan sistem percukaian, di mana ramai pakar ekonomi telah mengatakan kadar cukai Malaysia tidak adil bagi sebilangan besar individu ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kata beliau, adalah dicadangkan agar satu lagi kategori diperkenalkan iaitu “M40 bawahan” yang dijangka meliputi 50 peratus isirumah golongan berkenaan.
Katanya, golongan itu sepatutnya menerima manfaat sama seperti B40 termasuk subsidi minyak dan Bantuan Sara Hidup.
“Bantuan kerajaan juga seharusnya berdasarkan bilangan tanggungan dan lokasi tempat tinggal sesebuah isirumah bagi mengambil kira faktor inflasi tempatan.
“Justeru, sebuah keluarga di ibu kota sepatutnya menerima bantuan tunai yang lebih tinggi dan pada masa sama, sistem cukai pendapatan harus distruktur semula supaya golongan M40 bawahan ini tidak dicukai secara berlebihan,” katanya.
Faiz berharap, di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar ekonomi negara akan diubah supaya menjadi lebih adil dan peduli.
Ini katanya, penting bagi memulihkan ekonomi negara dan mengeluarkan rakyat dari bebanan kos sara hidup. – MalaysiaGazette