Zed Zaidi

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menggesa kerajaan mengkaji semula pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang kini dibuat secara lantikan politik selama dua tahun.

Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil berkata, pelantikan CEO badan berkanun itu tidak pernah menyelesaikan masalah industri kreatif di negara ini.

“Kami berharap Menteri Komunikasi DAN Digital, Fahmi Fadzil mengkaji semula pelantikan CEO Finas ini. Ini kerana melalui pengalaman SENIMAN, pelantikan CEO secara politik selama ini tidak pernah dapat menyelesaikan masalah industri mengikut bidang kuasa FINAS.

“Sehubungan itu, kami mencadangkan kepada YB Menteri supaya pelantikan CEO FINAS secara lantikan politik perlu dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rozaidi atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi mendakwa, kaedah pelantikan secara lantikan politik menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa di dalam pentadbiran FINAS.

“Sesetengah CEO pula salah guna kuasa untuk menurunkan pangkat pegawai, mengenakan tindakan tatatertib dan menukarkan pegawai ke jabatan yang tidak bersesuaian dengan tanpa sebab.

“Apabila salah guna kuasa ini diketahui umum, CEO bagaikan ‘ayam lepas, tangan bercirit’ malah ada CEO tidak tahu mengenai industri kreatif tetapi dilantik sebagai CEO. Ini sangat memalukan.

“Oleh kerana CEO ini tidak mempunyai pengalaman luas mengenai industri, ia boleh mencacat serta melambatkan kelancaran pentadbiran FINAS itu sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, pelantikan CEO atau Ketua Pengarah FINAS harus berlaku secara semulajadi di peringkat dalaman Finas itu sendiri.

“Mana-mana pegawai, pengarah atau timbalan ketua pengarah yang layak dan kelulusan PTD perlu dinaikkan pangkat supaya segala pentadbiran kerajaan dapat diselesaikan.

“Ia bagi mengelak masalah birokrasi serta ketirisan pentadbiran FINAS. Sekiranya ia tidak ditangani segera, nescaya masalah yang diselubungi para penggiat seni di dalam industri
kreatif Malaysia selama puluhan tahun ini tidak akan dapat diselesaikan sampai bila-bila,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast