pakistan malaysia kerjasama
Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Shahbaz Sharif di pejabatnya di Putrajaya, hari ini. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Pakistan memperbaharui komitmen untuk meneroka potensi kerjasama baharu dalam pelbagai lapangan, termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan serta hubungan sesama rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika mengulas perbualan melalui telefon antara beliau dan rakan sejawatannya di Pakistan, Shahbaz Shareef, hari ini.

“Saya turut menzahirkan kesediaan supaya Malaysia meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi dengan Pakistan termasuk menerusi mekanisme Mesyuarat Suruhanjaya Bersama,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau menambah, Malaysia dan Pakistan terus memperkukuh kerjasama dua hala sejak peningkatan tahap hubungan antara kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik pada 2019.

Katanya, Pakistan merupakan rakan dagangan penting di Asia Selatan dengan nilai dagangan dua hala mencecah AS$1.42 bilion pada 2021.

Sementara itu, Shahbaz yakin Malaysia akan berkembang pesat dari aspek ekonomi, sosial, keadilan dan kesaksamaan di bawah kepimpinan Anwar.

“Bukan sahaja rakyat Malaysia dan Pakistan, malah seluruh dunia memandang tinggi terhadap anda semasa berada dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video perbualan telefon yang dikongsi oleh Anwar dalam hantaran Facebook yang sama.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas bantuan yang dihulurkan kepada mangsa banjir di Pakistan pada musim panas lalu. – MalaysiaGazette