Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) Pahang mendakwa kerajaan lebih ‘sayangkan’ berjuta pelancong China yang bakal masuk ke Malaysia walaupun penularan varian baharu Covid-19 di negara itu sedang menggila.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, kebanyakan rakyat bimbang dengan pendirian kerajaan itu, malah kerajaan dilihat seolah-olah menggalakkan kehadiran pengembara asing itu.

“Paling mengecewakan, Menteri Pelancongan mengatakan jangan takutkan pelancong dari China? Ini sesuatu yang merepek dan cukup luar biasa.

“Lebih membimbangkan, tidak lama selepas itu, dilaporkan pula bahawa dua varian utama dari China sudah mula merebak di Malaysia.

“Selepas itu sebanyak 96.5 peratus sampel air kumbahan pesawat dari China yang diuji oleh pasukan KKM dikesan ada virus Covid-19.

“Sampai sekarang tiada permohonan maaf daripada menteri tersebut, apatah lagi tindakan drastik daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada insiden hampir separuh penumpang yang tiba dari China dijangkiti Covid-19 di Itali.

“Sepatutnya kerajaan sejak dari awal lagi mengambil iktibar akan apa yang berlaku di Itali baru-baru ini.

“Inilah antara asas kebimbangan rakyat Malaysia. Bukan saja-saja nak takut-takut, apatah lagi kebencian kaum.

“Kini, banyak negara sudah ambil tindakan tegas terhadap kemasukan pelancong China demi menjaga nyawa rakyat mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast