Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan diiringi timbalannya, Adly Zahari (dua kanan) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kanan) bergambar kenangan warga kementerian pada Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2023 di Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan berharap Nasional Task Force (NTF) yang dibubarkan pada 31 Disember lalu dikembalikan semula.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan harapan itu kerana peranan NTF penting untuk memperkukuh dan mempertahankan keselamatan negara secara berterusan pada masa akan datang.

Katanya, perkara itu telah dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini untuk pertimbangan dan tindakan kerajaan.

“Selain menjayakan misi menyelamatkan mangsa banjir dan bencana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga membantu operasi menjamin keselamatan di sempadan negara dan diiktiraf apabila diberi kepercayaan menerajui taskforce bersama polis, maritim dan agensi keselamatan lain.

“Ini satu mesej jelas apabila NTF membawa keberkesanan mempertahankan keselamatan di sempadan negara dan terkawal.

“Malangnya NTF telah dibubarkan. Kita (Mindef) mencadangkan untuk dipertimbangkan semula dan dihidupkan semula NTF dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini,” katanya dalam amanat Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2023 di Auditorium Wisma Pertahanan pagi tadi.

Tambah beliau, Jemaah Menteri telah mengambil maklumkan mengenai cadangan terbabit dan begitu juga dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Kabinet dan KSN juga sudah sedia maklumkan cadangan kembalikan NTF untuk dipertimbangkan segera.

“Ini adalah usaha serius Kementerian Pertahanan untuk mempertahankan sempadan negara,” ujarnya lagi.

Tegasnya, NTF telah banyak menyumbang dalam memperkukuhkan kawalan persempadanan negara baik di darat atau perairan negara dan kementerian berhasrat sungguh-sungguh untuk mengembalikannya semula.

Malah katanya, menerusi pelaksanaan Op Benteng, telah berjaya mengurangkan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan.

“Sepanjang operasi benteng dilaksanakan sebanyak 26,477 tangkapan, 4,415 rampasan kenderaan darat, bot dan kapal serta 4,314 pengurisan berjaya dibuat membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1.09 bilion.

Pada 28 Disember lalu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengumumkan pembubaran NTF berkuatkuasa 31 Disember 2022.

NTF merupakan gabungan 18 agensi penguatkuasa keselamatan telah ditubuhkan pada 20 Mei 2020 dan sepanjang dua tahun, tujuh bulan dan 25 hari telah melaksanakan Operasi Benteng untuk mengawal sempadan negara daripada diceroboh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta penyeludupan sepanjang perintah Kawalan Pergerakan Covid-19.- MalaysiaGazette