Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta supaya memperhalusi isu peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahun ini kerana ia memberi kesan negatif terhadap peniaga dan pengguna.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, kadar OPR sudah dinaikkan empat kali pada tahun lepas, dari 1.75 peratus kepada 2.75 peratus.

Menurutnya, kadar itu dijangka dinaikkan lagi sekurang-kurangnya dua kali pada bulan ini dan bulan seterusnya.

“Bayangkan berapa ramai rakyat yang akan terkesan dengan kenaikan OPR kepada 3.25 peratus?

“Bayangkan berapa ramai rakyat kategori M40 akan jatuh ke kategori B40 dan seterusnya kesengsaraan B40 dalam meneruskan kehidupan selepas ini?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk berbincang dengan Gabenor Bank Negara berhubung perkara itu.

Dalam pada Shahir menjelaskan, Bank Negara Malaysia (BNM) terpaksa menaikkan lagi OPR untuk menjadikan pasaran modal negara seiring dengan negara lain apabila Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) terus menaikkan kadar faedah pada tahun ini.

Ujarnya, kenaikan kadar faedah itu untuk menurunkan permintaan dalam ekonomi yang dikatakan menjadi punca kepada kenaikan inflasi.

“Sekiranya tidak dinaikkan, maka berkemungkinan pelabur asing dan tempatan akan memindahkan pelaburan ke luar negara kerana faedah yang ditawarkan lebih menguntungkan mereka.

“Kemudiannya, nilai mata wang ringgit akan turut jatuh apabila penukaran dari ringgit kepada dolar Amerika untuk membawanya ke luar negara,” katanya.

Shahir Adnan

Tambah beliau, pada masa yang sama, inflasi di Malaysia dipengaruhi juga oleh subsidi yang diberikan oleh kerajaan dan penetapan harga siling barangan keperluan asas.

Inflasi boleh dikurangkan dengan cara mengurangkan pergantungan kepada barang-barang import, seterusnya bergantung kepada produk tempatan, katanya.

Dengan cara itu beliau berkata, ringgit dapat diperkukuhkan di samping tidak menaikkan lagi OPR. – MalaysiaGazette