KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2023 pada 12 Januari 2023 untuk menyebarkan maklumat berkaitan prestasi industri sawit Malaysia pada 2022, prospek pasaran dan tinjauan harga untuk 2023 serta perkembangan pasaran terkini dalam industri.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof akan merasmikan seminar itu, yang merupakan salah satu platform MPOB untuk berkongsi maklumat terkini mengenai perkembangan industri sawit.

Bertemakan “Minyak Sawit: Merebut Peluang Di Tengah Cabaran Global”, seminar itu akan memberi tumpuan kepada prestasi industri sawit Malaysia 2022 dan prospek untuk tahun ini serta cabaran global mengenai bekalan dan permintaan minyak sawit.

Seminar itu juga akan membincangkan cabaran dan peluang dalam membangunkan sektor perladangan sawit mampan di India dan perkembangan terkini dalam industri sawit Thailand.

Selain itu, pembangunan pasaran dalam industri makanan China dan prospek minyak sawit dalam industri tersebut turut akan dibincangkan.

Sembilan kertas kerja yang mengetengahkan prestasi industri sawit bagi 2022, prospek dan pandangan pasaran bagi 2023, serta perkembangan, cabaran dan peluang dalam sektor sawit akan dibentangkan pada seminar itu.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir akan membentangkan kertas kerja mengenai prestasi industri sawit pada 2022 dan prospek 2023.

Pakar minyak dan lemak Dr. Julian McGill dari LMC International Ltd akan menyampaikan kertas kerja mengenai peluang pasaran dan prospek harga minyak sawit manakala Dr Sathia Varqa dari Palm Oil Analytics akan berkongsi pendapatnya mengenai kesan cabaran global terhadap bekalan dan permintaan minyak sawit.

Seorang lagi pakar industri Fadhil Hasan dari Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI) akan menyampaikan kertas kerja mengenai kesan dasar semasa Indonesia terhadap bekalan minyak sawit global.

Sementara itu, Pengarah Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia Arividya Arimuthu akan membentangkan kertas kerja mengenai perjanjian perdagangan bebas dan kesannya terhadap eksport minyak sawit.

“Seminar ini akan memberi peluang kepada para peserta untuk mendapatkan maklumat mengenai prestasi terkini industri minyak sawit, strategi, cabaran dan perkembangan pasaran bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia,” kata Ahmad Parveez.

Pemain industri tempatan, pengeksport, ahli ekonomi, penggubal dasar dan ahli akademik digalakkan untuk menyertai seminar ini. – MalaysiaGazette