Gambar hiasan

KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki dipercayai menerima suapan bagi melindungi kegiatan mencuri kayu balak di kawasan hutan simpan di Kuala Lipis, Pahang.

Kedua-dua suspek berusia 40 antara 61 tahun itu dipercayai menerima rasuah antara RM500 hingga RM2,000 daripada pemilik sebuah syarikat antara November 2019 hingga 2020.

Sumber memberitahu, suspek pertama yang merupakan penjawat awam, 40, ditahan di pejabat SPRM Cawangan Raub ketika hadir memberi keterangan kira-kira jam 2.30 petang tadi manakala suspek kedua, seorang pesara kerajaan ditahan kira-kira jam 7 malam semalam.

“Dalam satu operasi lain, SPRM Pahang menahan seorang penjawat awam kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM1,500 sebanyak dua kali daripada seorang individu sebagai balasan untuk melepaskan barang-barang yang disita oleh sebuah jabatanĀ  kerajaan yang terbabit dengan aktiviti perhutanan.

“Suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40 an itu dipercayai menerima wang rasuah pada Disember 2018 dan ditahan di pejabat SPRM Cawangan Raub kira-kira jam 7 malam, semalam ketika hadir memberikan keterangan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, KPKPj Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette