Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di ketika di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menstruktur semula proses pengurusan membawa masuk pekerja asing dengan memendekkan tempoh prose kemasukan prosedur kurang daripada 30 hari.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia membabitkan proses permohonan, kelulusan, pemeriksaan perubatan, permohonan visa yang mana ia mungkin mengambil masa antara 21 hingga 24 hari.

“Sebelum ini sebagai contohnya sebelum permohonan pekerja asing itu dibuat, ia perlu diiklankan yang akan memakan masa 30 hari jumlah tenaga kerja asing yang diperlukan tetapi sekarang hanya sehari sahaja diperlukan untuk pengiklanan,” katanya hari ini.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

Menurut Saifuddin, tiga daripada empat kelulusan pemprosesan dan kelulusan permohonan akan dikendalikan oleh kementeriannya.

Tambah beliau, pelaksanaan penstrukturan semula itu akan bermula pada minggu kedua atau ketiga tahun ini, tertakluk kepada mesyuarat Kabinet akan datang. – MalaysiaGazette