Seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta ditahan lewat malam tadi kerana disyaki menjadi ‘orang tengah’ kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang tahun 2020 hingga 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta ditahan lewat malam tadi kerana disyaki menjadi ‘orang tengah’ kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang tahun 2020 hingga 2022.

Ia melibatkan projek bernilai antara RM50 hingga RM500 juta menerusi runding terus.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, penahanan berkenaan susulan siasatan membabitkan dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion di bawah program rangsangan dan pemulihan ekonomi.

Katanya, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di ibu pejabat SPRM dan antara lima yang disiasat pihaknya.

“Hampir 90 peratus projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.

“Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 peratus hingga 20 peratus,” katanya.

Menurut sumber lagi, suspek yang ditahan dipercayai telah menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor-kontraktor dan pihak atasan.

Malah beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisen sebanyak tiga hingga lima peratus dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan lelaki berkenaan ditahan reman selama lima hari hingga 10 Januari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette