Persekutuan Pekilang -Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengenakan levi RM10,000 bagi tempoh tiga tahun, dan bukannya meminta majikan membayar jumlah itu setiap tahun untuk melanjutkan khidmat pekerja asing mahir mereka.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini mengulangi gesaan supaya kerajaan mempertanggungjawabkan hanya satu kementerian sebagai pengendali utama keseluruhan aspek pengurusan pekerja asing dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem berkaitan.

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata, FMM juga menyarankan penubuhan satu jawatankuasa pasukan petugas khas kelulusan bersama yang melibatkan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan bagi sektor-sektor terbabit.

“Adalah penting untuk membenarkan hanya satu agensi mengendalikan keseluruhan sistem pemprosesan penggajian pekerja asing (daripada peringkat pengambilan sehingga penghantaran pulang) menerusi sistem dalam talian tunggal dengan tidak melepaskan proses terbabit kepada penyedia perkhidmatan pihak ketiga.

“Kalangan majikan juga tidak harus menanggung kos tambahan apabila menggunakan sistem tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa pengurusan pekerja asing antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan dijajarkan semula dengan KDN sebagai ‘penjaga’ utama manakala peranan KSM dalam aspek tertentu dikekalkan.

Pada masa ini, usaha pengambilan pekerja terbabit dilaksanakan menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing.

Menurut Soh, pelaksanaan di bawah sistem tunggal juga dapat memastikan hanya terdapat satu maklumat pangkalan data pekerja asing yang perlu dikendalikan.

“Ini dapat melenyapkan kuasa budi bicara pegawai untuk meluluskan permohonan, menggalakkan komunikasi secara pantas serta menangani isu dengan lebih cepat kerana majikan hanya perlu berurusan dengan satu agensi dan sistem,” katanya.

Persekutuan itu turut menyambut baik jaminan Saifuddin mengenai peranan KDN sebagai ‘penjaga’ utama manakala KSM dari aspek keakuran kepada dasar perburuhan, penentuan kelayakan kuota dan pemuktamadan kerjasama dengan negara sumber masih di bawah kementerian tersebut, malah akan terus diperkukuh.

FMM berpendapat perlu ada satu tahap kelulusan berdasarkan kuota KSM manakala peranan utama KDN adalah terhad kepada perkara berkaitan keselamatan dan pemprosesan visa atau Visa Dengan Rujukan (VDR) serta permit kerja.

Soh berkata, memandangkan perubahan (peranan) itu akan berkuatkuasa pada 15 Jan 2023, industri terbabit berharap dapat mengadakan pertemuan dengan kementerian-kementerian berkaitan bagi mendapatkan pemahaman lebih jelas mengenai pengumuman terbaru berkenaan selain kelancaran peralihan usaha tersebut.

Selain itu, FMM menyambut baik pengumuman kerajaan berkaitan prosedur permohonan pengambilan pekerja asing yang dipermudah serta lebih lancar.

Ia turut berterima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf kepentingan peranan pekerja asing dalam pemulihan ekonomi Malaysia, terutama dalam senario tidak menentu serta prospek 2023 yang disifatkannya sebagai “kian suram.” – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast