Hee Loy Sian

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor belum memutuskan sama ada akan meneruskan penggunaan beg plastik di semua premis atau memansuhkan.

Exco Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Hee Loy Sian berkata, setakat ini pihaknya sedang mengumpul maklum balas pengguna dan pihak berkaitan berhubung perkara itu.

“Sebarang perbincangan atau ketetapan belum dibuat mengenai polisi caj kutipan beg plastik serta pelaksanaan hari sifar bahan berkenaan.

“Kita belum bincang lagi kerana kita nak dapatkan maklum balas dahulu seperti kutipan dan data daripada pengguna.

“Selepas selesai, baharu kita adakan perbincangan dan memutuskan sama ada akan naik harga atau buat penguatkuasaan lebih ketat,” katanya di sini, hari ini.

Kerajaan negeri menguatkuasakan hari tanpa beg plastik bermula 1 Januari 2017, yang mana sebelum ini hanya diadakan setiap Sabtu dan dilanjutkan kepada tujuh hari seminggu.

Dengan penguatkuasaan itu, peniaga di Selangor tidak lagi akan membekalkan beg plastik secara percuma, sebaliknya dikenakan bayaran.

Begitu juga, bekas makanan polisterena tidak lagi dibekalkan selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk bebas plastik.

Namun, pada Disember lalu, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan menyemak semula polisi penggunaan beg plastik mulai tahun 2023.

Cadangan itu susulan tahap penggunaan beg plastik masih tinggi walaupun caj 20 sen dikenakan kepada pengguna.

Mengulas lanjut, Loy Sian menjelaskan, inisiatif itu bagaimanapun bergantung kepada kaedah lain yang lebih sesuai bagi menggantikan bahan plastik. – MalaysiaGazette