Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler dan kereta jenis Proton Saga di Jalan Centeal Spine Road (CSR), menghala ke Bentong di sini pagi tadi.

BENTONG – Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler dan kereta jenis Proton Saga di Jalan Central Spine Road menghala ke Bentong di sini pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.35 pagi apabila mangsa  dan rakannya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur setelah membeli durian di Raub.

“Hasil siasatan polis mendapati terdapat sebuah treler telah mengalami kerosakan berhenti dan meletakkan kenderaan di tepi bahu jalan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tidak lama kemudian, Zaiham berkata, kereta yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun bersama penumpang wanita berusia 76 tahun itu telah menghentam bahagian belakang sebelah kanan lori treler terbabit.

“Akibat kemalangan tersebut, penumpang kereta telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” tambahnya.

Jelasnya, pemandu kereta terbabit yang merupakan rakan niaga mangsa turut mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Zaiham memohon kerjasama mana-mana pihak yang menjadi saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Beliau juga menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa memastikan kenderaan yang dipandu telah diselenggara dengan baik serta memandu dengan berhati-hati.- MalaysiaGazette