Peter Anthony

KOTA KINABALU – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) hari ini percaya bahawa Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sebagai Ketua Menteri.

Presiden KDM Datuk Peter Anthony berkata perkara itu merujuk kepada Perlembagaan Negeri Sabah menyatakan bahawa Ketua Menteri sebagai Ketua Parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Seterusnya, di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, ADUN Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor hendaklah meletakkan jawatan serta-merta,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sehubungan itu katanya, KDM menyerahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar  Mahiruddin untuk memutuskan pelantikan Ketua Menteri baharu berdasarkan dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Dengan tindakan KDM, serta UMNO dan BN Sabah menarik sokongan malam ini, Kerajaan Sabah diterajui Hajiji hanya mempunyai sokongan 38 ADUN iaitu 29 daripada GRS, PH (tujuh),dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

Parti Warisan mempunyai 19 kerusi, BN (18), KDM (3) manakala PAS satu kerusi.

— BERNAMA