Presiden Muafakat Nasional (NGO), Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media selepas mempegerusikan mesyuarat Muafakat Nasional (NGO) di Hotel Dorset Hartamas, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) tidak berhasrat menjadi sebuah parti politik.

Sebaliknya, Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata, MN akan kekal sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang mesra kepada semua parti politik.

“Parti-parti politik tidak perlu bimbang, kerana MN mesra dengan semua parti politik dan kita rentas parti politik,” kata pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi MN hari ini.

Terdahulu, Annuar mengumumkan pelantikan empat Timbalan Presiden MN yang akan membantunya iaitu Datuk Seri Zuraida Kamaruddin, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan Datuk Seri Santhara Kumar.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan pembentukan badan perhubungan negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelasnya, pembentukan ini dibuat permohonan keanggotaan MN yang semakin meningkat.

“Ini adalah struktur organisasi MN. Sesuai untuk kita mengikut Parlimen atau DUN.

“Dalam perlembagaan kita sekarang strukturnya begitu hanya ada badan perhubungan tapi tidak ada pemilihan.

“Yang penting kita nak mendekati komuniti,” katanya.

Annuar berkata, sehingga kini seramai 25,000 orang yang menjadi ahli NGO berkenaan.

Sementara itu Annuar berkata, Ahli Dewan Tertinggi pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan enam kluster utama.

Kluster berkenaan adalah Ekonomi; Sosial dan Kebajikan; Pendidikan dan Kenegaraan; Politik dan Kepimpinan; Belia dan Mahasiswa serta Media Sosial dan Seni Budaya.

“Enam kluster dibentuk supaya setiapnya membuat susulan perbincangan dalam aspek yang lebih spesifik,” tambah beliau. -MalaysiaGazette