Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini menyatakan pendirian tidak bersetuju Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan susulan ketidaktentuan politik di negeri berkenaan ketika ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH berkenaan menegaskan sekiranya kemelut itu tidak ditangani segera, ia akan menyaksikan kedudukan DUN tergantung.

“Sehubungan itu, kami ingin memaklumkan bahawa tujuh ADUN daripada PH Sabah memberi sokongan kepada Ketua Menteri sedia ada Datuk Seri Hajiji Noor, yang merupakan ADUN Sulaman.

“Ini adalah selari dengan prinsip kami untuk memastikan kestabilan politik terus mantap di Sabah dan tidak terlibat dalam langkah seperti Langkah Sheraton,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew yang juga ADUN Api-Api, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon (Tanjung Papat), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).

Selain itu, kesemua ADUN berkenaan yang menzahirkan rasa kesal dengan kemelut yang berlaku berkata, seharusnya fokus utama negeri adalah memastikan matlamat perjuangan membantu rakyat dan membangunkan ekonomi, serta memastikan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) direalisasikan selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa kami tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara pintu belakang,” menurut kenyataan itu.

Kesemua ADUN PH berkenaan juga mencadangkan untuk kerajaan negeri mengambil model sama seperti yang dilakukan kerajaan Persekutuan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di Sabah, sekiranya berlaku DUN tergantung.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri pada sidang media, mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji, susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dilanggar.

Bung Moktar berkata BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, namun Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Dengan tindakan Parti Kesejahteraan Demokeratik Masyarakat (KDM), serta UMNO dan BN Sabah menarik sokongan malam tadi, Kerajaan Sabah diterajui Hajiji hanya mempunyai sokongan 38 ADUN iaitu 29 daripada GRS, PH (tujuh),dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan bebas. – BERNAMA