Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis telah menerima maklumat baharu tentang keberadaan pasangan Rusia yang menceroboh dan memanjat Menara Merdeka 118, di sini daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis sudah memperolehi beberapa maklumat dan dapatan baharu dalam siasatan ini untuk membolehkan polis melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Noor Dellhan enggan mengulas lanjut bagi mengelak siasatan terganggu.

Pada 5 Januari lalu, Noor Dellhan memaklumkan polis bekerjasama dengan JIM bagi mendapatkan maklumat mengenai status terkini keberadaan pasangan warga Rusia itu di negara ini.

Sebelum itu, polis juga telah menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai pemilik akaun media sosial yang mengaitkan pasangan itu.

Setakat ini, seramai sembilan orang termasuk pihak Menara Merdeka 118 juga telah dipanggil dan dirakam keterangan oleh polis.

Pada 29 Disember lalu, pihak pengurusan Menara Merdeka 118 membuat satu laporan polis di Balai Polis Tun H S Lee,  selepas berita pasangan itu memanjat menara yang masih belum dibuka secara rasmi tular di media sosial.

Gambar Ivan Beerkus dan Angela Nikolau tular ketika kedua-duanya berada di puncak bangunan kedua tertinggi di dunia yang dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.-MalaysiaGazette