Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai di bawah satu skim bonus yang ditawarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

E-mel atau mesej terbabit antara lain mendakwa, hasil pemantauan yang dijalankan oleh Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati si mangsa yang ditujukan mesej berkenaan masih mempunyai transaksi yang belum diselesaikan dengan Maybank, iaitu sebagai pemenang hadiah wang tunai sebanyak RM270,000.00 di bawah Bonus Hadiah Keluarga TM.

Selain itu, kandungan e-mel tersebut juga menjelaskan, transaksi dengan Maybank adalah sah dan mereka boleh menuntut wang tunai itu tanpa rasa takut.

Justeru, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan emel atau mesej yang tidak ditentukan kesahihannya.

”Elak daripada memberikan butiran peribadi seperti kad dan nombor kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali.

”Kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta bentuk jenayah yang lain,” kata SKMM dalam kenyataan di sini.

MCMC menggesa orang awam untuk tidak mudah terpedaya dengan e-mel sedemikian, pada masa yang sama segera laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk perhatian dan tindakan susulan. – MalaysiaGazette