Gambar yang dimuat naik menunjukkan Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan wakil daripada Jakoa Johor serta Jakoa Daerah Johor Bahru.

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memberi perhatian terhadap pemilihan Tok Batin dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Sultan Ibrahim bertitah, pemilihan Tok Batin bagi masyarakat Orang Asli perlu dipastikan dalam kalangan suku kaum berkenaan dan bukannya orang luar.

Baginda bertitah, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat pembangunan sosioekonomi dan kebajikan masyarakat Orang Asli.

“Masyarakat Orang Asli bukannya golongan terpinggir sebaliknya JAKOA sentiasa memastikan golongan berkenaan terus membangun dan maju,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, JAKOA perlu sentiasa peka khususnya berkaitan pentadbiran penempatan atau perkampungan masyarakat Orang Asli di mana Tok Batin atau penghulu turut memainkan peranan penting.

“Selain pembangunan masyarakat di sesuatu perkampungan menjadi keutamaan, pada masa sama JAKOA juga perlu memberi perhatian dalam pemilihan Tok Batin.

“Tok Batin yang dipilih juga perlu tahu fungsi serta peranan mereka. Pada masa sama, jangan ada pihak mengambil kesempatan dengan menghasut masyarakat Orang Asli,” titah baginda.

Baru-baru ini, Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan wakil daripada Jakoa Johor serta Jakoa Daerah Johor Bahru.

Baginda bertitah, masyarakat berbilang kaum yang hidup bersatu-padu menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor selama ini.

“Atas sebab itulah, perlunya peraturan-peraturan tertentu bagi mengawal keharmonian dan kesejahteraan ini, termasuk berkaitan pembinaan rumah-rumah ibadat.

“Saya menyeru semua rakyat mematuhi peraturan-peraturan ini demi kesejahteraan sejagat,” titah baginda.

Sultan Johor juga bertitah, menasihatkan masyarakat Orang Asli sentiasa menjaga kebersihan dan keindahan penempatan masing-masing bertujuan memastikan aspek kesihatan sentiasa terjaga. – MalaysiaGazette