Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Seorang pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini menanggung kerugian kira-kira RM1.3 juta apabila ditipu oleh individu yang mendakwa Inspektor Ku.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa yang berusia 41 tahun mendakwa telah menerima panggilan telefon yang memperkenalkan diri Kementerian Kesihatan (KKM) dan mendakwa mangsa terlibat dalam pemalsuan laporan Covid-19 di Sabah.

Mangsa menafikan laporan itu kemudian telah disambungkan kepada pegawai polis di Sabah yang kemudian menyatakan mangsa juga terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dan dadah.

Mangsa kemudiannya telah ditawarkan pertolongan oleh seorang pegawai polis bernama Inspektor Ku.

“Pensyarah itu diminta membuka satu akaun bank baru dan menyerahkan kata laluan online banking serta mendaftarkan nombor telefon bagi penerimaan nombor TAC.

“Setelah membuka akaun bank, mangsa telah mengikut arahan Inspektor Ku untuk memindahkan semua wang ke dalam akaun diberi kononnya untuk simpanan selamat sementara kes mangsa disiasat.

“Jadi antara tempoh 17 Oktober hingga 25 November 2022, mangsa dikatakan telah memindahkan wang berjumlah RM1.3 juta ke akaun tersebut.

“Mangsa menyedari telah ditipu setelah membuat semakan akaun banknya awal tahun ini dan mendapati semua wang dari akaun tersebut telah dipindahkan ke beberapa akaun yang tidak dikenali,” katanya.

Kamarul Zaman berkata demikian dalam sidang media berkaitan kejayaan Polis Johor dalam membanteras kegiatan ah long di Ibu Pejabat Kontinjen Johor Bahru hari ini.

Dalam pada itu, polis juga menerima laporan seorang lelaki berusia 49 turut menjadi mangsa penipuan RM85,000 oleh wakil-wakil penjual secara atas talian yang menggunakan modus operandi dengan menjanjikan pulangan tinggi dengan pelaburan yang dilakukan.

Lelaki terbabit dipercayai menjadi mangsa penipuan apabila dijanjikan keuntungan mudah dengan melaburkan sejumlah wang.

“Mangsa pada mulanya melabur RM800 dan kemudiannya mendapatkan keuntungan RM2, 100 menjadikannya terpedaya dan mangsa melabur dengan lebih banyak wang dengan harapan mampu mendapat lebih banyak keuntungan.

“Namun mangsa mula menyedari ditipu apabila jumlah yang dilaburkan itu tidak mendapat pulangan,” katanya.

Pada masa sama, Kamarul Zaman mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan yang mendakwa terlibat dalam aktiviti jenayah sindiket penipuan Macau Scam.

“Polis tidak akan berpeluk tubuh dan kita menyarankan orang ramai memuat naik aplikasi Whoscall yang membolehkan kita mengesan panggilan daripada scammer,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast