KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didakwa terbeban dengan prasangka buruk selepas tergesa-gesa membuat pendakwaan walaupun penyiasatan belum lengkap.
Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Ab Samad yang dibebaskan daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta Khamis lalu berkata, beliau tidak dapat lari daripada mempunyai sangkaan tersebut terhadap Tommy.
“Kesimpulan saya mudah. Tommy Thomas menyifatkan dirinya sebagai seorang Peguam Negara yang melakukan reform tapi masalah peribadinya ialah dia terbeban dengan prasangka buruk.
“Adakah prasangka buruk ini yang mendorongnya mengesa untuk saya dituduh di mahkamah walaupun penyiasatan tidak lengkap?” soalnya.
Shahrir berkata, prasangka buruk Tommy itu dikesan dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” yang ditulis selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan dia tidak lagi menjadi Peguam Negara.
Katanya, dalam buku itu, Tommy sebanyak dua kali menulis bahawa beliau akan bertindak sebagai seorang Peguam Negara yang akan melakukan perubahan dalam sebuah pentadbiran atau kerajaan yang akan melakukan reform.
Namun menurut Shahrir, walaupun Tommy berwaspada dalam tindakannya namun kewaspadaan ituu adalah dari segi cabaran praktikal bukan dari segi hasratnya.
Kata Shahrir, cabaran sebenar Tommy adalah prasangka buruk yang sudah terpahat dalam mindanya sendiri.
Ini dijelaskan dalam penulisan Tommy terhadap FELDA di muka surat 249.
“Penulisan ini menunjukkan prasangkanya terhadap pentadbiran terdahulu walaupun pihak PDRM dan SPRM menyatakan keadaan sebenar bahawa tidak terdapat sebarang kesalahan dalam institusi-institusi tersebut.
“Sebenarnya, bagi FELDA iaitu agensi kerajaan yang saya menjadi pengerusinya dari Januari 2017 sehingga Mei 2018, audit forensik yang dilakukan ke atas FELDA pada 2016 telah menyebabkan pengarah besar dan timbalannya ketika itu dibicarakan serta dipenjarakan.
“Itu pembersihan semasa pentadbiran Barisan Nasional. Tambahan lagi, tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Isa Samad iaitu Pengerusi FELDA sebelum saya telah dimulakan semasa pentadbiran BN lagi walaupun perbicaraan berlaku semasa pentadbiran PH,” katanya.
Katanya, sungguh pun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan siasatan audit semasa pentadbiran PH hingga dibentang Kertas Putih di Parlimen namun tidak memberikan hasil tuduhan jenayah baharu.
Pada 5 Januari lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir, 73, selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh dalam kes itu. – MalaysiaGazette
Demi keadilan, diharap kerajaan dapat menyiasat PRASANGKA BURUK seperti yang didakwa? Ianya telah menyusahkan banyak pihak?