KUALA LUMPUR – Keadaan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Klang, Kuala Langat dan Sepang, Selangor hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca sama turut melanda beberapa kawasan di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh), Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang), Sabah (Kuala Penyu, Beaufort, Papar) dan Labuan.
Menerusi Facebook agensi tersebut memberi amaran apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih. – MalaysiaGazette